Sebenarnya, solehah atau tidak seseorang itu adalah terletak pada penghayatan agama seseorang itu. Bukankah Rasullullah S.A.W telah bersabda :-[1]
Sesungguhnya, perempuan itu biasanya dinikahi kerana agamanya dan hartanya dan kecantikannya, maka hendaklah kamu memilih dari agamanya maka sejuklah tanganmu
Menjadi wanita solehah akhir zaman ini satu perkara yang tidak mudah, tetapi ia bukan satu yang mustahil.
Untuk menjadi isteri yang soleh, seorang mesti ada tujuh syaratnya :-
1. Mesti ada hidayah dari Allah
Hidayah merupakan anugerah Allah. Sekali pun seorang yang duduk di samping suami yang soleh, jika tidak ada hidayah maka seorang itu tidak akan menjadi orang yang baik. Jika seorang itu diberi hidayah oleh Allah, sekalipun dia duduk di samping suami yang jahat, dia tetap baik seperti Siti Asiah. Di dalam al-Quran Allah telah menceritakan hal ini [2]:-
Allah membuat isteri Nuh dan isteri Luth sebagai perumpamaan bagi orang-orang kafir. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang saleh di antara hamba-hamba Kami; lalu kedua isteri itu berkhianat kepada suaminya (masing-masing), maka suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikitpun dari (siksa) Allah; dan dikatakan (kepada keduanya): "Masuklah ke dalam jahannam bersama orang-orang yang masuk (jahannam)".
2. Mesti ada niat untuk menjadi isteri yang solehah
Niat memainkan peranan yang penting di dalam menjadikan seeorang itu baik atau tidak. Jika seorang itu tidak pernah berniat menjadi baik, maka dia tidak akan dapat merubah dirinya ke arah yang lebih baik. Di dalam al-Quran Allah menyebutkan bahawa :-[3]
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri
3. Mesti taat kepada suami
Mentaati suami merupakan perkara yang wajib selagi tidak melanggar syariat Allah. Di dala hadith Rasullullah S.A.W telah menyatakan [4]
Dari Ibnu Umar R.A dari Nabi S.A.W dia telah berkata, mendengar dan taat adalah hak (yang perlu ditunaikan) selagi tidak diperintahkan untuk maksiat, apabila telah disuruh kepada maksiat maka tiada lagi hak mendengar dan taat
4. Mesti ada sifat-sifat isteri yang solehah
Isteri yang soleh mempunyai sifat-sifat keibuan walaupun terhadap suami. Ia membelai, mendengar, menghargai dan berada di sisinya seolah-olah telah cukup segala yang ada. Rasullullah menggambarkan keadaan isteri yang sebegini dengan hadithnya yang berbunyi :[5]-
Dari Abdullah bin Amru bahawa Rasullullah S.A.W telah bersabda, dunia itu merupakan perkara yang menyejukkan, dan sebaik-baik perkara yang menyejukkan adalah perempuan yang solehah
5. Mesti ada amalan-amalan isteri yang solehah
Isteri yang solehah akan membuat perkara-perkara yang menyenangkan suaminya. Di dalam satu haditu Rasullullah S.A.W telah bersabda [6] :-
Dari Abi Ummah dari Nabi S.A.W bahawasanya baginda bersabda, tiada perkara yang paling menyenangkan bagi seorang mukmin selepas taqwa yang lebih baik dari seorang isteri yang solehah. Jika dia menyuruhnya isteri itu akan mentaatinya jika dilihat padanya maka isterinya itu amat menyenangkannya dan jika dia memberi isterinya itu akan menghargai dan jika dia tiada isterinya itu akan menjaga diri dan hartanya.
6. Mesti meletakkan Allah s.w.t dan Rasul sebagai sebagai cinta pertama
Perkara ini perlu kerana jika seseorang mencintai suaminya lebih, jika tiba-tiba suaminya itu berbuat sesuatu kesalahan atau kekurangan, maka dia boleh melawan dan derhaka kepada suaminya itu, sedangkan dia taatkan suami bukan kerana suami tetapi kerana Allah yang menyuruhnya. Banyak orang yang menderhakai suami di atas alasan jahatnya suami.
Yang kita mahu adalah keredhaan Allah. Oleh yang demikian kita taat suami kerana mahukan kasih sayang Allah, nanti Allah akan anugerahkan kasih sayang suami itu sampai akhirat. Di dalam al-Quran Allah ada menyatakan [7]:-
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani
7. Berdoa
Hidup kita tidak boleh lekang dengan doa. Kepentingan doa menjadi orang yang baik amat perlu. Ia perlu dipohon setiap hari. Oleh kerana pentingnya doa ini, Allah telah mewajibkan kita membaca satu doa setiap kali kita bersembahyang. Jika kita tidak membaca doa ini, maka tidak sah sembahyang kita. Doa itu berbunyi :-[8]
Tunjukilah kami jalan yang lurus
Oleh yang demikian, untuk menjadi isteri yang solehah, seorang isteri itu perlu mendoakan dirinya. Bagi seorang suami pula, mereka perlulah mendoakan isteri mereka agar menjadi isteri yang solehah.
Jika orang tua-tua kita pernah berkata, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan, maka saya ingin menambah, sayangkan isteri doa-doakan.
Ini kerana, doa suami akan membantu perubahan diri isteri dalam usaha mereka untuk menjadi isteri yang solehah.
[1] hadith riwayat Muslim
[2] Surah at-Tahrim ayat 10
[3] Surah ar-Ra’du ayat 11
[4] Hadith riwayat al-Bukhari
[5] Hadith riwayat Muslim
[6] Hadith riwayat Ibnu Majah
[7] Surah Ali-Imran ayat 31
[8] Surah al-fatihah ayat 6
Sumber: http://www.ustazamin.com/
No comments:
Post a Comment